Pendidikan


Membina Keupayaan Hidup

“Kita menuju ke arah Wawasan 2020 dan menjadikan negara kita ini negara maju. Maknanya, pembangunan fizikal penting tetapi pembanginan tenaga manusia juga penting. Pada saya, manusia adalah lebih penting kerana merekalah yang akan menggerakkan segala pembangunan yang ada di negara ini.
Kita mesti mempunyai keupayaan melihat, memahami, cepat bertindak dan menghadapi segaka keadaan yang akan kita lalui, ..... Kita mesti ada kemampuan ini untuk menjadi rakyat yang bermutu, kepemimpinan dan pentadbiran yang berkualiti.”

YAB DATO’ SERI ABDULLAH AHMAD BADAWI (UCAPAN PADA MAJLIS PERDANA PERKIDMATAN AWAM KE-6, PUTRAJAYA)

Inilah yang sering dinasihatkan oleh YAB Perdana Menteri yang menggambarkan kepentingan pendidikan yang membina keupayaan hidup. Apakah sebenarnya rasional pendidikan sebegini.

Rasional

Pada 28 Februari 1991, Y.A.B. Perdana Menteri (ketika itu), Dato Seri Dr. Mahathir Mohamed telah membentangkan satu kertas kerja bertajuk "Malaysia - Melangkah ke Hadapan". Kertas kerja ini mengandungi pemikiran dan rangka kerja mengenai matlamat Malaysia menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Ianya kemudian dikenali sebagai "Wawasan 2020" yang menjadi visi serta misi negara kita.
Wawasan 2020 bukanlah merupakan satu dasar khas. Ia merupakan suatu tindakbalas kepada perkembangan ekonomi, sosial dan politik yang berlaku di peringkat nasional dan antarabangsa yang telah memberi cabaran hebat kepada negara. Wawasan ini telah diketengahkan sebagai satu garis panduan dan rangka kerja mengenai pendekatan yang harus diambil dalam memulakan langkah bagi perjalanan jauh yang akan ditempuh oleh negara.
Matlamat terakhir yang dicita-citakan ialah pembentukan sebuah negara Malaysia yang benar-benar maju menjelang tahun 2020. Kemajuan dimaksudkan ini bukan terhad kepada bidang ekonomi sahaja malah ia akan merangkumi segala aspek kehidupan: ekonomi, politik, sosial, kerohanian, kejiwaan dan kebudayaan. Secara keseluruhannya Wawasan 2020 merupakan satu visi pembangunan yang mantap dan mapan, iaitu:
Menjelang tahun 2020, Malaysia sebagai sebuah negara merdeka akan menjadi negara yang benar-benar maju, bersatu, mampu berdikari, progresif dan makmur. Rakyat akan menikmati kehidupan yang sempurna dalam satu masyarakat yang demokratik, bertoleransi, bermoral, adil, mampu bersaing, dinamik dan mempunyai daya ketahanan yang tinggi.

Pendidikan

Dalam konteks ini pendidikan merupakan antara cara yang terpenting dalam mencapai hasrat negara ini. Bukan sahaja pendidikan ini perlu membangkitkan potensi individu, pendidikan mestilah juga memangkin satu kehidupan yang lestari. Daya ketahanan perlu dilihat bukan sahaja dalam konteks kemahiran individu dan aspek ekonomi tetapi juga kepada gaya hidup individu.
Tinjauan PENITA mendapati bahawa pendidikan zaman sekarang adalah terpesong dan terlalu berasaskan keuntungan. Semua aspek pendidikan dari segi intelektual, politik, keagamaan dan ekonomi kini sudah kian hilang keberkesanannya. Nilai-nilai murni dalam masyarakat kian digadai kerana kegilaan materialisma. Pendidikan hari ini dimotivasikan oleh keuntungan dan bukan demi membina masyarakat.
Zaman dahulu masyarakat lebih peka alam dan menghargai alam. Proses kehidupan yang simbiotik dihargai dan dikekalkan. Masyarakat hari ini dalam aliran moden kian hari kian jauh daripada alam. Alam sekitar diandaikan satu komoditi untuk dijualbeli dan digunakan. Penggunaan alam seolah-olah tiada batasannya adalah satu penipuan ketamadunan hari ini.
Sumber-sumber alam yang mengambil berzaman-zaman untuk dibentuk tidak dihargai kecuali nilai ekonominya. Dengan ini,masyarakat hari ini hidup dalam dunia yang penuh eksploitasi dan pencemaran alam.
Manusia hari ini sudah biasa dengan hidup dalam suasana berjerebu, pencemaran air, udara dan makanan. Perkara ini sudah tidak menjadi kerisauan. Namun kesannya begitu mendalam.
Dalam pendidikan hari ini, anak-anak didik untuk bersedia dalam pekerjaan. Pendidikan bukan lagi bagi membina keupayaan hidup. Malah ada yang menyatakan sekolah kini seolah kilang memgeluarkan produk. Produk ini diukur dengan peperiksaan dan dilabel mengikut kualiti.

Peranan wanita

Penyertaan serta sumbangan wanita sering dititikberatkan dalam persoalan mendidik generasi masa depan. Namun tindakan dan peranan ini bukan sahaja peranan wanita tetapi kaum bapa dan juga masyarakat setempat.
Wanita hari ini sememangnya terdedah kepada ilmu pengetahuan dan kemahiran yang amat luas. Ini adalah hasil sistem pendidikan kita dan juga peredaran zaman di mana wanita sudah giat menimba ilmu secara formal ataupun informal. Namun begitu, usaha menginterasikan wanita dalam proses pembangunan masih belum mencapai tahap yang membanggakan.

Cabaran

Kebanyakan wanita dan juga lelaki kian sedar kepentingan peranan mereka bersama dalam memastikan pendidikan hari ini bercorak membina keupayaan hidup. Sungguhpun begitu, tidak ramai sedar bahawa transformasi ini memerlukan kesedaran gender dan perkongsian gender yang sejati.
Cabaran yang pertama adalah bagaimana kita dapat bangun dan menyedarkan bahawa perkongsian gender penting dalam mencapai Wawasan 2020. Peranan wanita sememangnya penting kerana sifat semulajadi wanita sebagai ibu, pengasuh, pengurus rumahtangga, majikan, pekerja yang banyak menyumbang kepada pembangunan negara. Masyarakat perlu bangun dan sedar bahawa wanita juga mempunyai kearifan yang boleh membantu masyarakat mewujudkan pendidikan ala masyarakat dan membina keupayaan hidup.
Malah sekiranya kita meninjau dalam komuniti ramai wanita sudah mempraktikkan serta mendorong masyarakat sekeliling untuk lebih mesra alam. Antara aktiviti yang dilihat adalah kitar semula, bergotong-royong dan bantu-membantu. Jaringan kemasyarakatan dalam dunia moden sudah hampir hilang. Kedua-dua kaum ibu dan bapa perlu berganding bahu dalam usaha ini.
Cabaran kedua yang kita hadapi adalah cara bagaimana kaum wanita disedar dan dididik memahami kandungan Wawasan 2020 di samping membangunkan semangat mereka melibatkan diri, bukan sahaja sebagai rakyat tetapi lebih-lebih lagi sebagai wanita dengan sifat-sifat keistimewaan mereka. Sudah lama kaum wanita ketinggalan dalam pembangunan ataupun memainkan peranan di sebalik tirai. Masanya juga sudah tiba wanita mengorak langkah memantapkan lagi penyertaan wanita secara aktif dalam pembangunan negara.

Perspektif dan keterangan konsep asas Wawasan 2020

Cabaran-cabaran di atas sebenarnya telah membangkitkan beberapa isu utama yang harus dihadapi bagi membolehkan Malaysia mencapai taraf negara maju. Pendidikan yang kita anjurkan perlu menyentuh isu-isu ini:-
(i) Pembentukan Satu Negara Bangsa Malaysia
Konsep satu negara bangsa mempunyai makna yang dalam kerana ia bermaksud sebuah negara berdaulat yang rakyatnya tidak dapat diidentifikasikan melalui kaum, keturunan atau warna kulit. Pembentukan satu negara bangsa adalah menjadi pra-syarat kepada kemajuan kerana tanpa rakyatnya mempunyai satu pemikiran terhadap satu negara dan bangsa, sebarang bentuk kerjasama untuk maju tidak akan terjalin. Bagi mengisi konsep ini istilah seperti perpaduan negara, kesetiaan kepada negara, keharmonian dan toleransi perlulah difahami dan diamalkan.
(ii) Negara Perindustrian
Negara yang telah berjaya mengubah corak ekonomi dan kehidupannya daripada pertanian kepada perindustrian adalah mempunyai status negara maju. Wawasan 2020 berkehendakkan rakyat Malaysia meneruskan proses transformasi ini yang telah dimulakan sejak merdeka lagi kerana pencapaian sekarang masih lagi di pertengahan jalan.
Ini adalah kerana proses ini bukan sahaja melibatkan transformasi daripada kehidupan bertani kepada perindustrian malah ia juga melibatkan perubahan teknologi, ekonomi, sosial dan kebudayaan. Masyarakat negara maju adalah masyarakat yang didokong oleh kemahiran dan kepakaran sains dan teknologi yang tinggi yang bukan setakat boleh mencedok atau mengubahsuai sahaja tetapi ia mestilah boleh mencipta, menambah dan memperbaharui.
Bagi mencapai taraf Negara perindustrian pertumbuhan ekonomi yang amat pesat amatlah penting. Ia sudah tentunya berkait dengan sumbangan sektor perdagangan dan komersial yang secara langsung melibatkan soal modal, pelaburan, daya saing, kualiti tenaga kerja, berdikari dan kekentalan menghadapi cabaran-cabaran. Di peringkat ini peranan sektor swasta amatlah besar kerana ia akan menjadi jentera Pertumbuhan.
(iii) Keadilan Ekonomi dan Sosial
Penwujudan satu masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi dan sosial memang tidak dapat disangkal sebagai satu cabaran besar yang perlu dihadapi bagi penwujudan satu negara maju dan bersatu. Ini ialah kerana dalam sebuah negara maju tidak patut wujud keadaan di mana satu golongan rakyat mempunyai segala- galanya sedangkan satu golongan lagi tercicir.
Pernyataan Wawasan 2020 ini adalah merupakan penegasan semula keatas isu yang sentiasa 0diberi dan meminta perhatian utama iaitu pembasmian kemiskinan, keseimbangan sosioekonomi di antara kaum, di antara wilayah, di antara negeri dan diantara bandar dan luar bandar. Dalam konteks ini Wawasan 2020 sebenarnya telah meminta semua rakyat Malaysia tidak salah tafsir terhadap bantuan yang diberikan kepada sesuatu kaum golongan sebagai tidak adil, sebaliknya hendaklah menganggapnya sebagai satu usaha bagi memperbaiki ketidak-adilan. Kesungguhan bagi mencapai tahap keseimbangan ini seterusnya telah diterjemahkan ke dalam objektif Dasar Pembangunan Nasional dan dilaksanakan melalui program dan projek Rancangan Malaysia Keenam.
(iv) Moral dan Etika
Berlainan dengan konsep negara maju yang ada sekarang yang lebih bercirikan kebendaan, negara maju ala-Malaysia yang dicita-citakan seharusnyalah berpegang kepada falsafah moral dan etika yang tinggi berasaskan kepercayaan agama. Penganutan falsafah ini adalah penting kerana kemajuan kebendaan tanpa nilai-nilai moral dan etika tidak akan mewujudkan kesejahteraan dan keharmonian yang berkekalan sebaliknya banyak membawa keburukan. Pengamalan nilai-nilai murni (seperti di dalam Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam) akan menjadi faktor penghalang dalaman untuk tidak menyalahgunakan kemahiran atau kekayaan yang dimiliki.
(v) Pembangunan Masyarakat Berdasarkan Sistem Kekeluargaan
Wawasan ini telah mengetengahkan perkara pokok sistem sosial iaitu pembangunan keluarga berdasarkan hakikat bahawa keluarga menjadi asas pembentukan masyarakat dan masyarakat pula menjadi asas pembinaan negara. Ini membawa maksud bahawa kekuatan dan kemajuan sesebuah negara itu bermula dan terletak pada keluarga dan masyarakat.
Penegasan ini amatlah benar kerana keluarga (rumah tangga) dan masyarakatlah yang mencorakkan kualiti individu yang menjadi rakyat dan pemimpin sesebuah negara. Budaya bangsa yang merangkumi sistem nilai dan cara hidup (termasuk masyarakat penyayang dan budaya menyayangi) sebagaimana yang dicita-citakan dalam Wawasan ini hendaklah digerakkan dari awal lagi dan ini memerlukan rakyat menyedari kepentingan institusi keluarga dalam memajukan negara dan mengambil langkah-langkah perlu bagi mewujudkan keluarga dan masyarakat yang sempurna.

Kesimpulan

Sekali imbas Wawasan 2020 merupakan intipati dan petunjuk dalam pendidikan masyarakat. Pendidikan semata-mata kerana ia mementingkan persoalan pembangunan ekonomi perlu diubah supaya lebih daripada aspek itu dan menyentuh perkara-perkara berkaitan dengan aspek sosial dan cara hidup seperti pembentukan dan keperibadian bangsa, moral dan etika, kebudayaan kebangsaan, pembangunan sumber manusia dan lain-lain.
Wawasan 2020 juga penting kerana ia menyediakan satu ruangan bagi kaum wanita. Penyertaan dan penglibatan wanita dalam proses pembangunan di semua peringkat adalah digalakkan. Demikian juga penyediaan perundangan yang melindungi hak-hak asasi wanita supaya wanita tidak tertindas.
Justeru itu, Wawasan 2020 bukanlah slogan untuk dilaung-laungkan, tetapi ia lebih merupakan rangka kerja tindakan bagi setiap rakyat untuk mengambil langkah-langkah tertentu bagi memastikan Malaysia menjadi negara yang benar-benar maju dan makmur. Dalam konteks ini Wawasan tersebut memerlukan beberapa perisian penting, di antaranya ialah kualiti tenaga kerja yang dihasilkan oleh sistem pendidikan, perubahan sikap dan nilai, penekanan kepada sains dan teknologi, perancangan, dan peranan sektor swasta yang lebih dinamik.

1 ulasan:

  1. very good and suitable for bookmarking this website, because it is very good at providing information that is current and very good in terms of design
    dominoqq online
    poker online
    bandar judi
    judi terpercaya
    agen domino
    situs bandarq

    BalasPadam