Rabu, 23 Januari 2013

Belajar Tarannum





Pengertian Tarannum Al-Quran

Tarannum adalah berasal daripada perkataan Arab iaitu tarannama, yatarannamu tarannum yang membawa maksud berdendang atau menyanyi. Dr Ruuhi al-Balbaki, pakar bahasa Arab pula menyatakan bahawa kata akar bagi perkataan tarannum ini ialah rannama, yurannimu, tarnim yang membawa maksud “intonation, modulation, recital, chanting, singing and humming” iaitu yang merangkumi maksud intonasi, nyanyian dan bacaan yang baik.
Tarannum adalah suatu ilmu atau kaedah suara yang dipelbagaikan mengikut proses Nada, Rentak dan Irama tertentu.
Nada adalah tingkatan atau tekanan bunyi suara.
Rentak adalah pergerakan yang menghidupkan bunyi suara.
Irama adalah alunan atau bentuk bunyi.
Tarannum adalah suatu istilah yang diguna pakai oleh RasuluLlah SAW. Sabda Baginda:

ما أذن الله لشىء ما أذن لنبى حسن الترنم بالقرأن
- رواه البخارى

Maksudnya: "Apa yang diizinkan Allah atas sesuatu itu ialah apa yang diizinkan kepada nabinya yang selalu mengelokkan lagu (tarannum) bacaan al-Quran”.
Sejarah Tarannum
Rasulullah s.a.w. menerima Al-Quran pada tahun 610 masihi. Baginda memerintahkan umatnya membaca Al-Quran dengan suara yang elok serta diperindahkan lagi (tazyin / tarannum). Kemudian terdapat beberapa orang sahabat yang masyhur sebagai qari-qari yang baik antaranya Abdullah bin Mas’ud RA, Abu Musa Asy’ari dan ramai lagi.
Kemudian pada zaman tabiin muncul pula qari-qari seperti Alqamah bin Qis di Kufah (Tahun 62 hijrah). Abdullah b Saib di Mekah (70 hijrah) dan lain-lain. Begitulah sejarah pembacaan Al-Quran bertarannum yang terus berkembang sehingga ke hari ini.
Oleh kerana tarannum sesuatu yang bersifat seni pendengaran (sima’i), maka Jumhur qurra bersepakat bahawa tidak diketahui secara sanadnya bagaimanakah bacaan berlagu Rasulullah s.a.w. itu. Ketika zaman keagungan Islam dahulu, cabang-cabang ilmu Islam begitu pesat berkembang serta mempunyai berbagai aliran (mazhab). Seiring dengan itu, ilmu tarannum juga membangun serta mempunyai berbagai aliran yang popular antaranya: Misri (Mesir).Hijazi (Mekah dan Madinah), Iraqi, Kurdi (sempadan Iraq dan Turki), ‘Ajami (Iran) dan lain-lain. Kini aliran yang paling popular dan diterima di seluruh dunia ialah aliran Misri. Qari-qari Mesir yang muktabar telah mengambil dan mengubah suai tarannum-tarannum atau lebih mereka sebutkan sebagai ilmu maqamat itu dari aliran-aliran di atas mengikut budaya mereka serta mengarabkannya untuk bacaan Al-Quran.
Perbandingan Aliran Hijazi dan Misri
Aliran Hijazi
• Padang pasir.• Bukit bukau.• Suhu tinggi. Lalu: irama dan rentaknya lincah dan nada suaranya tinggi kehangatan.
Aliran Misri
• Lembah nil.• Subur menghijau.• Suhu sederhana.Lalu: irama dan rentaknya lembut dan suaranya sederhana kemanisan.
Asal Ilham Tarannum
Manusia yang berjiwa seni selalulah mendapat idea-idea dari persekitarannya. Sejak zaman silam, pengaruh bunyi geseran kayu, bunyi tiupan angin, bunyi kicauan burung, bunyi air mengalir dan lain-lain telah mencetuskan idea untuk membuat lagu ataupun di dalam bahasa arab disebut At-Tarannum, Al-Ghina, ataupun ilmu Al-Maqamat.
Hukum Umum Bertarannum
Berdasarkan kaedah fiqhiyyah serta pandangan alim-ulama, bolehlah kita fahami bahawa hukum bertarannum adalah seperti berikut;
1. Fardhu (kifayah) : jika hanya dengan berlagu dapat mengajak masyarakat ingin mendekati Al-Quran.
2. Sunat : jika dengan berlagu boleh membantu kesempurnaan hati.
3. Harus : untuk mengambil keseronokan mendengar alunan yang indah.
4. Makruh : jika dengan berlagu tiada langsung kebaikan keagamaan diperolehi.
5. Haram : jika mahu menunjuk-nunjuk kepada orang yang mendengar atau riyak atau ujub. Atau jika merosakkan hukum-hukum tajwid, meniru-niru lagu keagamaan lain, meniru-niru lagu penyanyi-penyanyi yang hanya melekakan dan lain-lain.
Sabda Rasulullah s.a.w.:
اقرؤوا القرأن بلحون العرب وأصواتها، وإياكم ولحون أهل الكتابين وأهل الفسق، فإنه سيجئ بعدي قوم يرجعون بالقرأن ترجيع الغناء والرهبانية والنوح. لا يجاوز حناجزهم مفتونة قلوبهم وقلوب من يعجبهم شأنهم.
(رواه الطبرني والبيهق)
Maksudnya: "Bacalah al-Quran itu dengan gaya lagu dan suara yang berlahjah Arab dan jangan sekali-kali menbaca dengan lagu dan suara yang berlahjah keYahudian atau keNasranian. Demikian juga lagu-lagu ahli fasik/penyanyi (Biduan dan Biduanita). Maka sesungguhnya sepeninggalanku nanti, akan muncul satu golongan yang sengaja membaca al-Quran dengan lagu-lagu yang dipopularkan sebagai nyanyian penghibur, pendeta dan perintih yang tiada melampaui khalkum mereka, hati mereka sudah terfitnah, apa lagi hati mereka yang mengkaguminya".




TARANNUM BAYYATI

Perkataan bayyati adalah dari bahasa Arab yang bererti rumah atau tempat kediaman.

Sifat Tarannum Al-Bayyati

• Lembut disamping tegas.
• Sesuai dengan tobaqot sederhana.
• Harmoni.
• Berunsur ketenangan.

Peranan Tarannum Al-Bayyati

• Memantapkan persembahan.
• Sesuai sebagai tarannum pembukaan dan penutup.
• Pengukuran kepada tarannum sesudahnya.
• Dapat menimbulkan kesenian fasohah Al-Quran.
• Dapat menimbulkan perasaan mengkagumi mukjizat Al-Quran.



TARANNUM SOBA

Bermaksud rindu. dipopularkan kini oleh qari mesir

Sifat Tarannum Soba

• Gerak ringan meresap jiwa.
• Alunan lembut yang mendayu.
• Sesuai dengan tobaqot sederhana.
• Sesuai dengan ayat memohon, merayu, merintih dan sebagainya.

Peranan Tarannum Soba

• Menenangkan persembahan.
• Membawa kekhusyukan dan keinsafan.
• Dapat menimbulkan kesenian fasohah Al-Quran.
• Dapat menimbulkan perasaan mengkagumi mukjizat Al-Quran.



TARANNUM HIJAZ

Hijaz ialah sebuah kawasan di dalam Arab Saudi. Sangat popular sebagai suatu cabang pelopor tarannum dahulu. Tetapi kini tarannum hijaz telah diubahsuai oleh Qari-qari Mesir mengikut zouq budaya mereka.

Sifat Tarannum Hijaz

• Gerak lambat tapi berkesan.
• Ketegasan pendorong semangat.
• Kelincahan menghidupkan persembahan.
• Sesuai dengan mana-mana tobaqot.
• Sesuai dengan ayat perintah, tegas atau marah.
Peranan Tarannum Hijaz.

• Memberi semangat kepada persembahan.
• Memberi kepuasan kepada pembaca dan pendengar.
• Memberi tenaga kepada tarannum sesudahnya.
• Menunjukkan Ketegasan kepada mesej Al-Quran.
• Dapat menimbulkan kesenian fasohah Al-Quran.
• Dapat menimbulkan perasaan mengkagumi mukjizat Al-Quran.


TARANNUM NAHWAND
Nahwand juga adalah nama suatu tempat. Terletak di Hamadan Parsi (kini Iran). Tetapi kini tarannum nahawand telah diubahsuai oleh qari-qari Mesir mengikut zouq budaya mereka.

Sifat Tarannum Nahwand

• Gerak ringan yang berkesan.
• Kelembutan bersopan.
• Sederhana memikat jiwa.
• Kehalusan seni.
• Sesuai dengan tobaqot sederhana.

Peranan Tarannum Nahawand

• Melembutkan bacaan.
• Menenangkan jiwa pembaca dan pendengar.
• Sesuai dengan ayat memohon, bercerita dan sebagainya.
• Dapat menimbulkan kesenian fasohah Al-Quran.
• Dapat menimbulkan perasaan mengkagumi mukjizat Al-Quran.

                                  


TARANNUM RAST

Berasal dari parsi (iran) kemudian digunapakai oleh qari-qari Hijazi. Tetapi kini tarannum rast telah diubahsuai oleh qari-qari Mesir mengikut zouq budaya mereka.

Sifat Tarannum Rast

• Gerak lembut disamping ketegasan.
• Kelembutan alunan.
• Lincah menyemarakkan.
• Sesuai dengan mana-mana tobaqot.
• Sesuai dengan mana-mana bentuk ayat.

Peranan Tarannum Rast

• Memberi semangat kepada persembahan.
• Memberi tenaga kepada tarannum berikutnya.
• Memberi kepuasan kepada pembaca dan pendengar.
• Dapat menimbulkan kesenian fasohah Al-Quran.
• Dapat menimbulkan perasaan mengkagumi mukjizat Al-Quran.



TARANNUM SIKAH

Berasal dari parsi (iran) kemudian digunapakai oleh qari-qari Hijazi (pada kurun-kurun 7 masihi hingga 19 masihi). Tetapi kini tarannum Sikah telah diubahsuai oleh qari-qari Mesir mengikut zouq budaya mereka.

Sifat Tarannum Sikah

• Gerak lambat meyakinkan.
• Kelembutan menusuk kalbu.
• Berciri kesedihan dan kerintihan.
• Sesuai dengan ayat-ayat merayu, memohon, merintih dan sebagainya.
• Sesuai dengan mana-mana tobaqot.

Contoh :

Peranan Tarannum Sikah

• Melembutkan persembahan.
• Memberi kepuasan kepada pembaca dan pendengar.
• Membawa kekhusukan dan keinsafan.
• Dapat menimbulkan kesenian fasohah Al-Quran.
• Dapat menimbulkan perasaan mengkagumi mukjizat Al-Quran.



TARANNUM JIHARKAH
Berasal dari parsi (iran) kemudian digunapakai oleh qari-qari Hijazi (pada kurun-kurun 7 masihi hingga 19 masihi). Tetapi kini tarannum Jiharkah telah diubahsuai oleh qari-qari Mesir mengikut zouq budaya mereka.

Sifat Tarannum Jiharkah
• Gerak ringan yang berkesan.
• Kelembutan menusuk kalbu.
• Harmoni.
• Sesuai dengan ayat-ayat merayu, memohon, merintih dan sebagainya.
• Sesuai dengan tobaqot sederhana.

Peranan Tarannum Jiharkah

• Menenangkan ketegangan persembahan.
• Melembutkan persembahan.
• Membawa kekhusukan dan keinsafan.
• Dapat menimbulkan kesenian fasohah Al-Quran.
• Dapat menimbulkan perasaan mengkagumi mukjizat Al-Quran.



PENGENALAN TARANNUM DI MALAYSIA

Qari-qari dari Malaysia masa kini telah mempopularkan bacaan al-Quran dengan tarannum yang disusun seperti berikut:

1. Bayyati, Soba, Hijaz, Nahwand dan Rast.
2. Bayyati, Hijaz, Nahwand, Rast dan Sikah.
3. Bayyati, Nahwand, Rast, Sikah dan Jaharkah.
4. Bayyati, Soba, Nahwand, Rast dan Sikah.
5. Bayyati, Iraqi, Hijaz, Sikah dan Rast.

50% daripada qari di Malaysia membaca dengan bahagian (1) dan (2), 30% pula membaca dengan bacaan mengikut turutan (3), 15% lagi membaca dengan bahagian (4) dan 5% lagi membaca dengan bacaan mengikut turutan (5).

Namun mengikut seorang pakar tarannum di Malaysia, Hj Nik Jaafar bin Nik Ismail; susunan lagu-lagu yang popular di Malaysia ialah
1. Bayyati, Soba, Hijaz, Nahwand dan Rast.
2. Bayyati, Hijaz, Nahwand, Rast dan Sikah.
3. Bayyati, Nahwand, Rast, Sikah dan Jaharkah.
Bagi lagu-lagu lain hanya sebagai selingan sahaja.

1 ulasan:

  1. hmm... nk tanya pendapat. agak2 apa kepentingan atau kelebihan belajar tarannum di era moden?

    BalasPadam