Remaja
selalu bertanya apakah salah kami bercinta? Tidak, bercinta memang tidak
salah justeru ia adalah fitrah semulajadi yang Allah kurniakan kepada setiap
manusia. Ingin cinta dan dicintai adalah instinc. Jiwa manusia memerlukan
cinta seperti jasadnya perlukan makanan. Oleh kerana cinta adalah fitrah, maka
tentulah tidak salah untuk merasainya. Namun Allah tidak kurniakan rasa
cinta secara polos begitu sahaja.
Dia juga
mencipta peraturan cinta demi menjaga kemurniaanya. Peraturan inilah yang
kerap dilanggar oleh remaja. Rasa cinta tidak salah tetapi kesalahan selalu
berlaku sewaktu menjalinkan hubungan cinta. Di sinilah berlakunya cinta
terlarang yakni cinta yang menafikan peraturan Tuhan. Ketika itu fitrah telah
menjadi fitnah. Bila kehendak semulajadi tidak disalurkan atau diisi mengikut
peraturan maka akan
berlakulah kekalutan dan kemusnahan.
Mengapakah perlu ada peraturan cinta?
Jawabnya, kerana Allah mencintai manusia. Allah inginkan
keselamatan dan kesejahteraan buat manusia melaksanakan keinginan fitrah
semulajadinya. Keinginan tanpa peraturan akan menyebabkan banyak kemusnahan.
Begitulah hubungan cinta yang terlarang, akan membawa banyak implikasi negatif
dalam kehidupan. Pengalaman sudahpun
mengajar kita nahawa
jangan sekali-kali bermain cinta, nanti terbakar diri. Sudah banyak tragedi
yang berlaku akibat
hubungan cinta yang membelakangkan Tuhan. Cinta yang terlarang, adalah
cinta yang sudah dicemari oleh kehendak nafsu dan kepentingan
diri. Keindahan cinta yang sudah tercemar ini tidak tahan lama. Sudah
dapat apa yang dihajati, sudah terlaksana apa yang dikejar, cinta akan terkulai
dan bersepai.
Hubungan cinta
jangan dicemari oleh sebarang tindakan menyalahi syariat. Lebih banyak
perlanggaran hukum berlaku, lebih tinggilah risiko kemusnahan yang akan
berlaku. Jangan kita tertipu dengan pesona cinta yang dihiasi berbagai janji
dan sumpah setia. Jangan kita mabuk dengan rindu dan asyik yang membuai dan melenakan.
Seteguk kita minum dari kendi cinta terlarang, racunnya akan meresap membunuh
akal, jiwa dan perasaan. Pada ketika itulah cinta dikatakan buta. Maka butalah
mata hati dan mata kepala hingga seseorang akan menjadi hamba kepada siapa yang
dicintainya. Ketika itu hati tidak nampak yang lain kecuali apa yang
dicintai. Lupalah diri pada Pencipta cinta kerana terlalu asyik
dengan cinta yang dikurniakan-Nya. Ah, bagaimanakah perasaan kita
agaknya, jika seseorang begitu leka
dengan hadiah hingga
terlupa bersalam dan berterima kasih dengan pemberinya?
Tuhan kerap
terpinggir dalam hubungan cinta yang terlarang. Hukumnya dilanggar bukan dengan
rasa
bersalah tetapi
dengan rasa manis dan megah. Tangan kekasih dipegang walaupun jelas Allah
mengharamkan sentuhan antara lelaki dan wanita yang bukan muhram. Tergamak
berdua-duaan di
tempat sunyi
walaupun sudah diperingatkan Nabi bahawa dalam keadaan begitu syaitan adalah
orang yang ketiga.
Lebih dari itupun banyak berlaku. Semuanya seolah-olah halal hanya kerana cinta.
Racun-racun berbisa yang memusnahkan cinta telah dianggap sebagai baja.
Akhirnya pohon cinta terlarangpun berbuah. Buah yang pahit, masam dan
memabukkan. Buah yang muncul dengan pelbagai jenama yang aneh dan menjijikkan
bohsia, bohjan, buang bayi dan zina. Ketika itu indahkah cinta?
Peraturan cinta bagai tanda-tanda dan lampu isyarat di atas
jalan-raya. Kereta diciptakan dengan kuasa untuk bergerak, tetapi
pergerakkannya perlu diatur dan dikawal. Jika tidak, dengan kuasa itu akan
berlakulah perlanggaran dan pertembungan. Begitulah cinta, ia adalah kuasa
tetapi kuasa itu perlukan peraturan dan kawalan.
Apakah peraturan-peraturan dalam hubungan cinta?
Hendaklah cinta kita itu didasarkan kepada cinta Allah.
Ertinya, cinta yang
kita berikan kepadanya semata-mata kerana mengharapkan keredhaan Allah. Allah
memberi kita fitrah itu lalu kita niatkan dengan fitrah itu boleh menghampirkan
diri kepada-Nya. Cintailah sesiapapun tetapi pastikan cinta itu dapat
memudahkan kita mencintai Allah. Sehubungan dengan itu, cinta antara lelaki dan
perempuan mestilah diniatkan untuk Allah.Soalnya bagaimana? Iringilah dengan
niat untuk berkahwin kerana berkahwin itu lebih memudahkan seorang lelaki atau
perempuan menyempurnakan agamanya. Sabda Rasulullah SAW: Apabila seseorang itu
berkahwin, sempurnalah separuh agamanya, tinggal lagi separuh
untuk disempurnakannya.
Oleh itu usahlah
bercinta sekadar untuk bersuka-suka.
Lebih buruk lagi
janganlah ada niat-niat yang jahat dalam bercinta samada didorong oleh hasutan
nafsu atau bujukan syaitan. Jika tidak ada niat untuk berkahwin, cinta sudah
pasti bukan
kerana Allah.
Hakikatnya cinta itu adalah cinta terlarang yang akan membawa kemusnahan pada
sebelah pihak atau kedua-duanya sekali. Cinta jenis ini seburuk namanya Cinta
Monyet!
Selain itu hendaklah dipastikan semasa menjalinkan hubungan
cinta tidak ada hukum Allah yang dilanggar.
Antaranya, tidak ada
pergaulan bebas, tidak ada pendedahan aurat, tidak ada pengabaian
perkara-perkara asas seperti meninggalkan sembahyang, puasa dan lain-lain.
Hubungan cinta juga jangan sampai terjerumus dalam perkara yang melalaikan dan
merugikan. Remaja tidak seharusnya mengeluh dan berkata, cinta apa namanya ini
jika tidak ada dating, perbualan talipon secara
marathon, surat cinta, sentuhan tangan, kerlingan dan senyuman?
Yakinlah tidak ada keindahan dengan melanggar
peraturan Tuhan.
Putus cinta, frust cinta yang begitu dominan dalam kehidupan remaja adalah
disebabkan racun-racun cinta yang disangka baja ini. Justeru banyaklah cinta
yang gagal disambung di alam perkahwinan dan lebih banyak yang putus tanpa
sempat menempuh perkahwinan.
Allah Maha Mengetahui dan Maha menyayangi. Segala peraturan-Nya
dibuat dengan rasa cinta terhadaphamba-hamba-Nya. Cinta suci mampu tumbuh
tanpa semua itu. Dan cinta itu pasti akan membawa ke gerbang perkahwinan untuk
bercinta lagi dengan seribu keindahannya. Bahkan jika ditakdirkan cinta
itu akan terus bersambung ke alam akhirat. Suami yang soleh dan
isteri yang solehah akan bercinta lagi di syurga tempat pertama yang melahirkan
cinta! Ketika itulah fitrah akan menjadi anugerah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan