Isnin, 14 Januari 2013

Kerjaya Guru









Kerjaya guru menurut perspektif agama 
Perspektif Islam
Peranan guru dalam perspektif Islam adalah sangat meluas. Guru adalah penyampai ilmu, penggerak dan penasihat. Ini bermaksud, guru atau pendidik mempunyai tugas dan tanggungjawab yang mencabar.
Mengikut istilah yang digunakan oleh sarjana-sarjana Islam, guru atau pendidik ialah murabbi, muallim, muaddib, ustaz, mudarris, mursyid atau ulama. Semua istilah-istilah yang digunakan bersal dari Bahasa Arab dan pada dasarnya istilah-istilah tersebut mempunyai maksud yang sama iaitu memberi pengajaran atau pendidikan. Ustaz dan Mudarris dalam masyarakat melayu dikhususkan kepada mereka yang mengajar pelajaran agama Islam di sekolah, madrasah, masjid, pondok dan sebagainya . Muallim juga bermaksud pengajar, lebih menjurus kepada seorang pengajar (tidak terhad kepada guru sekolah) yang mencurahkan ilmu pengetahuan untuk anak didiknya, dan kadang kala digunakan dalam ertikata pemimpin. Berbeza dengan Murabbi, seorang Muallim lebih menumpukan kepada ilmu akal, sementara Murabbi membawa maksud yang luas, melebihi tahap Muallim.
Konsep Murabbi merujuk kepada pendidik yang bukan sahaja mengajarkan sesuatu ilmu tetapi dalam masa yang sama cuba mendidik rohani , jasmani dan mental anak didiknya untuk menghayati dan mengamalkan ilmu yang telah dipelajari. Justeru, Murabbi lebih menumpukan penghayatan sesuatu ilmu, sekaligus membentuk keperibadian, sikap dan tabiat anak didiknya Mursyid bermaksud memberi tunjuk ajar. Mursyid menurut istilah kaum sufi, merupakan mereka yang bertanggungjawab memimpin murid dan membimbing perjalanan rohani murid untuk sampai kepada Allah s.w.t dalam proses tarbiah yang teratur, dalam bentuk tarekat sufiyah. 
Para Mursyid dianggap golongan pewaris Nabi s.a.w. dalam bidang pentarbiah umat dan pemurnian jiwa mereka (tazkiyah an-nafs), yang mendapat izin irsyad (izin untuk memberi bimbingan kepada manusia) dari para mursyid mereka sebelum mereka, yang mana mereka juga mendapat izin irsyad dari mursyid sebelum mereka dan seterusnya, sehinggalah silsilah izin irsyad tersebut sampai kepada Rasulullah s.a.w. (tanpa terputus urutannya). Oleh itu pada kebiasaannya, ia daripada keturunan Ulama’. Guru-guru pada zaman Abbasiyah digolongkan kepada tiga kategori iaitu muallim, muadib,dan ustaz. Muallim ialah golongan guru sekolah rendah yang diberi tugas mendidik ilmu-ilmu asas Islam seperti Al-Quran, Ibadah, Akidah dan Ilmu Akhlak. Mu’adib ialah guruyang bertanggungjawab mengajar di sekolah khas. Ustaz pula ialah pensyarah di sekolah tinggi (maktab).
Sesungguhnya, peranan pendidik di dalam perspektif Islam bukanlah terhad kepada guru sahaja,tetapi juga kepada ibubapa, tok guru, tok imam, tok bilal dan siapa sahaja yang mengajak ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran,mereka adalah pendidik.
Peranan guru dalam mendidik masyarakat amatlah besar dan luas. Antaranya ialah menyampaikan aqidah dan keimanan yang tulen untuk menghidupkan hati dan menghubungkan manusia dengan Allah, meyakinkan pertemuan dengan Allah, mengharapkan rahmatNya dan takutkan siksaanNya, menyampaikan ilmu pengetahuan dan kemahiran meliputi fardhu ain dan fardhu kifayah yang menjadi asas ubudiyah (pengabdian diri kepada Allah), hubungan harmoni sesama manusia dan alam, serta membentuk akhlak atau peribadi mulia supaya menjadi contoh tauladan kepada orang lain.
Seorang pendidik haruslah memahami bahawa Islam adalah ad-Din bukan sekadar aqidah dan peribadatan tetapi suatu sistem hidup nizam al-hayat. Pendidik bukan sahaja berperanan untuk memberi kesedaran kepada diri sendiri, malahan juga untuk masyarakat tentang hubungan, komitmen dan hubungannya dengan hukum Allah s.w.t. Seorang pendidik mestilah menyedari hakikat bahawa pengajaran itu merupakan tanggungjawab yang mesti dilaksanakan
Kerja mendidik adalah sebahagian amal soleh manakala enggan menyampaikannya dosa yakni siksaan api neraka. Dari sudut sejarah menunjukkan hubungan di antara istana dengan tuan guru di mana ulama’ dan guru adalah rapat dan dimuliakan berbanding dengan jawatan-jawatan lain. Dari sudut budaya, konsep berguru amat diutamakan. Belajar bukan setakat untuk mendapatkan ilmu, apa yang lebih penting ialah berguru untuk membina akhlak dan adab berilmu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan